Tuhan Terlepas Satu Hari?
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
"All aircraft this is Medan Control. We just had an
earthquake. All systems seems to be normal and Medan
airport is still open." Demikianlah kata-kata pengawal
lalulintas udara pada lebih kurang pukul lapan
setengah pagi pada 26 Disember 2004. Pada ketika itu
penulis sedang berada pada ketinggian 36,000 kaki di
ruang udara kawalan Medan Control dalam penerbangan
daripada Kuala Lumpur ke Istanbul.
Mengganggap ia hanyalah gempa bumi yang kecil, perkara
tersebut terlepas daripada ingatan penulis sehingga
esok hari ketika menontot BBC World News di bilik
hotel di Istanbul. Jelas bahawa anggapan penulis
adalah salah. Gempa bumi tersebut yang sebenarnya
berpusat di dasar lautan di sebelah Barat kepulauan
Sumatra sebenarnya telah melahirkan ombak besar
"Tsunami" yang menghempas tebing hampir semua negara
di sekeliling Lautan India. Malah ombak besar ini juga
mencecah sehingga ke tebing negara Somalia di pantai
Timur benua Afrika.
Jumlah kehilangan nyawa amatlah besar sehingga
mencapai lebih 100,000. Dalam suasana memikirkan
kedahsyatan malapetaka tersebut, tiba-tiba talifon
bimbit penulis berbunyi, menandakan ada sebuah SMS. Ia
berbunyi:
Al-Qur'an, surah Mayram, ayat 88-91: "Demi
sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang
besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan
yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah
(Tsunami 26 Disember), serta gunung-ganang pun
nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa
mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Hari
Natal 25 Disember)." Sila sebarkan kepada orang ramai.
Penulis tersentak seketika. Dalam suasana manusia
seluruh dunia sedang bertungkus lumus menyelamatkan
mangsa ombak besar, ada umat Islam yang sibuk mencari
ayat sebagai "dalil" bagi peristiwa tersebut. Dalam
suasana manusia seluruh dunia bergegas mensedekahkan
harta membantu mangsa, ada umat Islam yang bergegas
mencari ayat sebagai dalil untuk menjustifikasikan
peristiwa tersebut.
Ramai umat Islam yang memiliki sifat angkuh
di dalam diri mereka di mana dengan keangkuhan
tersebut mereka berkata "padan muka" kepada mana-mana
kaum yang ditimpa musibah, sekalipun kaum tersebut
seagama dengan mereka. Sebelum ini apabila berlaku
banjir besar di Bangladesh, penulis pernah mendengar
di antara umat Islam ada yang berkata: "Itulah azab
Allah yang melanda. Orang Bangla tu banyak yang tak
betul Islam mereka!" Apabila berlaku gempa bumi di
bandar Bam di Iran yang mengorbankan puluhan ribu
nyawa, ada di antara umat Islam yang berkata: "Azab
Allah turun kerana mereka itu orang Syi'ah yang
sesat!"
Semua ini adalah penyakit umat Islam yang perlu
diubati segera. Mencari-cari ayat bagi
menjustifikasikan sesuatu musibah dan/atau menuduh
sesuatu musibah adalah azab Allah kerana keburukan
sesuatu kaum merupakan satu kesalahan yang amat besar.
Ini kerana:
1. Mereka menyalahgunakan ayat-ayat Allah dengan
memaksa tafsirannya. Mereka tidak menjadikan al-Qur'an
sebagai pemimpin, sebaliknya merekalah yang memimpin
al-Qur'an agar secocok dengan apa yang mereka
kehendaki.
2. Mereka menuduh sekian-sekian kaum dengan sesuatu
keburukan tanpa sebarang bukti yang kukuh di
sebaliknya. Asalkan sesuatu kaum ditimpa musibah,
mereka menuduh kaum tersebut sebagai telah melakukan
keburukan.
3. Mereka telah memperkatakan sesuatu terhadap Allah
tanpa ilmu. Apabila mereka berkata "Itulah azab
Allah", seolah-olah mereka mewakili Allah dalam
menerangkan apa dan kenapa sesuatu musibah itu
berlaku. Memang, semua yang berlaku adalah dengan
kehendak Allah. Akan tetapi kehendak Allah dipenuhi
dengan pelbagai sebab dan hikmah di sebaliknya, jauh
berbeza dengan kehendak manusia.
Untuk lebih mendalami poin ketiga di atas, perlu
diketahui bahawa apabila sesuatu musibah melanda
sesuatu kaum, ia memiliki beberapa kemungkinan di
sebaliknya. Di antara kemungkinan tersebut adalah:
1. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi
mereka satu peringatan agar kembali kepada kebenaran.
2. Allah mengasihi kaum tersebut dan musibah itu
sebenarnya sesuatu yang baik bagi mereka dari pelbagai
sudut lain yang hanya diketahui oleh Allah. Ini kerana
manusia hanya mampu menilai sesuatu perkara secara
zahir. Apa yang manusia pandang sebagai buruk mungkin
sebenarnya baik di sisi Allah dan apa yang manusia
pandang sebagai baik mungkin sebenarnya buruk di sisi
Allah.
3. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi
mereka kehidupan akhirat yang mereka idam-idamkan.
Musibah yang menimpa merupakan syahid kecil sebagai
ganti kepada syahid besar yang diidam-idamkan oleh
para mujahidin.
4. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut
sebagai penghapus kepada kesalahan yang mereka
lakukan. Kadar musibah adalah selari dengan kadar dosa
mereka. Namun selepas itu di Alam Barzakh dan
seterusnya, kaum tersebut terbebas daripada apa-apa
azab.
5. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut
sebagai azab yang membalas kesalahan yang mereka
lakukan. Oleh kerana kadar kesalahan yang mereka
lakukan adalah besar, maka azab tersebut berlanjutan
sehingga ke Alam Barzakh dan seterusnya.
6. Allah ingin menguatkan kaum tersebut, lalu
diberikan musibah sebagai sesuatu yang dapat membina
jatidiri mereka.
7. Allah ingin menguji kaum yang terselamat daripada
musibah, sama ada mereka mensyukuri keselamatan yang
mereka peroleh atau bersifat angkuh terhadapnya.
Sesiapa yang mensyukurinya maka dia lulus ujian,
sesiapa yang bersikap angkuh maka dia gagal ujian.
Apabila sesuau musibah menimpa sesuatu kaum yang lain,
kita tidak dapat pastikan sama ada ia disebabkan oleh
kemungkinan 1, 2, 3, 4, 5 atau 6 kerana semua itu
adalah hak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita juga tidak
boleh berkata bahawa kemungkinan tersebut terhad
kepada 7 yang tersenarai di atas sahaja. Apa yang
pasti ialah kemungkinan yang ke-7 jatuh kepada kita
yang terselamat daripada musibah, sama ada kita
mensyukurinya atau bersikap angkuh terhadapnya.
Mensyukuri yang dimaksudkan ialah bersyukur kepada
Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa dia terselamat
daripada musibah tersebut. Kesyukuran ini dilanjutkan
kepada membantu kaum yang ditimpa musibah dengan apa
jua cara yang boleh seperti bantuan kewangan, bantuan
harta benda, bantuan kepakaran dan sebagainya.
Keangkuhan yang dimaksudkan ialah bersifat angkuh
kononnya dia dipenuhi dengan kebaikan sehingga
menganggap Allah telah mengecualikan dia daripada
ditimpa musibah. Keangkuhan ini dilanjutkan kepada
menuduh bahawa kaum yang ditimpa musibah tersebut
memang layak menerimanya kerana salah laku yang mereka
perbuat. Bahkan ini mungkin dilanjutkan kepada
mengemukakan ayat-ayat tertentu yang dipaksa
tafsirannya agar menepati sebaik mungkin suasana
musibah yang menimpa.
Melalui penulisan yang ringkas ini penulis ingin
mengajak diri penulis sendiri dan para pembaca
sekalian agar menganalisa diri kita sendiri. Marilah
kita berfikir, adakah kita tergolong di kalangan
orang-orang yang bersyukur kepada Allah kerana
terselamat daripada musibah? Sudahkah kita
menterjemahkan kesyukuran tersebut kepada menghulurkan
bantuan kepada mangsa yang ditimpa musibah?
Marilah kita membanding diri kita dengan umat-umat
daripada agama selain Islam. Dalam suasana kita
berkata: "Itulah kaum yang diturunkan azab Allah",
umat-umat agama lain berkata: "Itulah kaum yang
sangat-sangat memerlukan pertolongan". Dalam suasana
kita berkata: "Apakah kesalahan yang dilakukan oleh
kaum tersebut sehingga ditimpa musibah?", umat-umat
agama lain berkata: "Apakah yang dapat kita lakukan
untuk membantu mereka?" Dalam suasana kita sibuk
mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang
menimpa satu kaum, umat-umat agama lain sibuk mencari
peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama dalam
misi penyelamat.
Sungguh, sangat berbeza sikap umat Islam berbanding
umat-umat agama lain. Marilah dari saat ini kita
berubah sikap. Berubah bukan sahaja ke tahap yang
menyamai umat-umat lain tetapi melebihi mereka.
Bukankah berlumba-lumba membuat kebaikan sesuatu yang
dituntut oleh Islam:
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang
masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah
kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu
berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua
(berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan);
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah 2:148]
Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan
kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu),
tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa
yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu
berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan
memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[al-Maidah 5:48]
3 comments:
That's a great story. Waiting for more. »
Wonderful and informative web site. I used information from that site its great. vw baja bug tires Provigil and cymbalta risque models Cash register barcode scanner cum
Keep up the good work eyeglasses Levaquin 500 mg tablets uses http://www.sport-2.info evista life assurance quote in scotland Bourse forex A picture and information on chilean rose tarantulas microsoft it training course high capacity expandable tax covers
Post a Comment